Quantcast
Channel: Cabul Archives - Kuala Lumpur Post
Viewing all 137 articles
Browse latest View live

Ketua Pegawai Operasi didakwa cabul bekas kakitangan

$
0
0


Petaling Jaya
– Ketua Pegawai Operasi (COO) sebuah syarikat perkhidmatan kurier mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mencabul seorang bekas kakitangan wanita syarikat itu, empat tahun lalu.

Mengikut pertuduhan, Indraa Izwaan Mohd. Yusof, 35, didakwa telah menggunakan kekerasan jenayah terhadap wanita berusia 33 tahun itu dengan niat hendak mencabul kehormatan mangsa di hadapan lif Blok B, Tingkat 4, Kelana Jaya Business Centre, Jalan SS7/2 dekat sini antara pukul 9.50 pagi dan 10 pagi, 18 September 2014.

Pertuduhan tersebut dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Natasha Chin Le Jy mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda serta sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

Majistret Nurulhuda Zakariya membenarkan tertuduh yang diwakili peguam Nik Mohamed Ikhwan Nik Mahamud, diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 11 April ini untuk sebutan semula kes. – Utusan


12 murid dipercayai turut jadi mangsa cabul guru tampil

$
0
0


Miri
– Seorang guru yang ditangkap pada Selasa lepas kerana mencabul kehormatan seorang murid perempuan dipercayai turut melakukan perbuatan terkutuk itu pada 12 murid lain di sekolah sama.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak Datuk Dev Kumar berkata antara 5.40 petang hingga 8.15 malam semalam, seramai 12  ibu bapa telah datang ke Balai Polis Niah untuk membuat laporan polis terhadap suspek yang didakwa mencabul kehormatan anak-anak mereka.

“Setakat ini 13 mangsa kanak-kanak telah tampil, mereka adalah murid Tahun Dua hingga Tahun Lima sebuah sekolah rendah di Batu Niah Miri berusia antara lapan dan 11 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kesemua mangsa mendakwa kejadian berlaku ketika mereka berada dalam Tahun Satu dan Tahun Dua serta suspek dikatakan turut merakam gambar bahagian badan mangsa menggunakan kamera telefon bimbitnya.

“Telefon bimbit suspek telah dirampas untuk analisa forensik dan dia direman tujuh hari hingga 1 Mei ini sejak ditangkap 24 April lepas,” katanya. – Bernama

Bekas guru agama didakwa cabul 10 murid lelaki

$
0
0


Kajang
– Seorang bekas guru agama didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua pertuduhan merangsang dan 18 pertuduhan mencabul 10 murid lelakinya sejak Februari 2014 sehingga April 2017.

Mohd Farid Yusof, 31, bekas guru Al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) di sebuah sekolah rendah agama integrasi mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan ke atasnya dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Datin Surita Budin.

Lelaki itu didakwa atas dua pertuduhan merangsang dua murid berusia 10 dan 11 tahun untuk melakukan suatu perbuatan kelucahan melampau di bilik guru lelaki sebuah sekolah rendah agama integrasi di Bangi, masing-masing pada September 2015 dan November 2016.

Dia didakwa mengikut Seksyen 377E Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan hendaklah juga dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Mohd Farid yang kini bekerja sendiri turut didakwa atas 18 pertuduhan melakukan kekerasan jenayah bagi maksud mencabul kehormatan 10 murid berusia antara sembilan dan 12 tahun termasuk seorang daripada mangsa yang dirangsang itu.

Dia dituduh melakukan semua kesalahan itu di bilik guru lelaki, bilik kesihatan, bilik alat pandang dengar, bilik Kurikulum Standard Sekolah Rendah dan tiga buah bilik darjah, di sekolah itu antara Februari 2014 dan April 2017 mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau dengan denda atau dengan sebat atau dengan mana-mana dua daripada seksaan itu, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Siti Noor Hafizan Zakaria tidak menawarkan wang jaminan terhadap tertuduh mengambil kira kes tersebut membabitkan 10 mangsa yang merupakan kanak-kanak manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah membenarkan jaminan yang rendah.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin yang terdiri dari anggota keluarga berserta syarat tambahan tertuduh dilarang mengganggu kesemua mangsa dan menetapkan 8 Jun untuk sebutan semula kes.

Terdahulu tertuduh yang hadir ke mahkamah ditemani seorang lelaki menutup mukanya dengan tangan dan menundukkan kepalanya sepanjang masa ketika berada di luar bilik bicara sehingga dia dipanggil masuk untuk prosiding pendakwaan. – Bernama

Bapa didakwa cabul anak kandung

$
0
0

Kota Bharu – Seorang bapa didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas dua pertuduhan mencabul anak perempuan kandungnya berusia lima tahun sembilan bulan, pada Mac tahun lalu.

Bagaimanapun, tertuduh yang berusia 37 tahun mengaku tidak bersalah di atas pertuduhan itu dan mohon dibicarakan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa dengan maksud seksual mencabul pada bahagian kemaluan anak kandungnya itu di sebuah bilik dalam rumah di Pasir Puteh, pada jam 3 petang Mac 2020.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-kanak 2017 yang sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun dan sebatan.

Pertuduhan kedua, lelaki itu yang bekerja sebagai buruh didakwa melakukan seks oral kepada mangsa yang sama pada masa dan lokasi sama.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-kanak 2017 dan sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun serta sebatan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Faizuan Sulaiman tidak menawarkan jaminan kepada tertuduh.

Bagaimanapun, tertuduh dalam rayuannya memberitahu dia mempunyai tanggungan anak dan isteri serta ada penyakit.

Ahmad Bazli kemudian menetapkan 8 Jun ini sebagai tarikh sebutan semula kes. – BH Online

Lelaki cabul wanita di tempat letak kereta diburu

$
0
0

Kuala Lumpur – Polis memburu seorang lelaki yang disyaki mencabul seorang wanita di tempat letak kereta dalam sebuah bangunan komersial di Kota Damansara, Petaling Jaya dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, mangsa yang juga seorang wanita tempatan berusia 21 tahun sedang berada di luar kenderaannya sebelum ditolak daripada belakang oleh seorang lelaki tidak dikenali.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, berkata mangsa jatuh terlentang di dalam kereta dan suspek kemudian menindih dan meraba tubuh mangsa selain cuba membuka pakaian wanita itu.

“Mangsa cuba melepaskan diri dengan meronta-ronta dan menjerit menyebabkan suspek bertindak menumbuk muka mangsa berkali-kali.

“Bagaimanapun, tindakan mangsa menekan hon kereta menyelamatkan dirinya apabila suspek melarikan diri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata mangsa mengalami kecederaan bengkak serta lebam pada muka dan membuat laporan polis kira-kira jam 1 tengah hari, kelmarin.

“Hasil siasatan mendapati sebelum kejadian mangsa ada berselisih dengan suspek ketika berjalan ke arah keretanya.

“Fotofit suspek berjaya dihasilkan dengan bantuan mangsa dan suspek dipercayai seorang lelaki tempatan berasal daripada Sabah, berusia lingkungan 25 tahun dengan ketinggian kira-kira 165 sentimeter,” katanya.

Menurutnya, suspek juga digambarkan berbadan kurus dengan tatu penuh di lengan kanan, berambut pendek, kening sederhana serta berbibir tebal.

“Kita minta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu atau maklumat berkenaan suspek untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Chew Yong Hoa di talian 014-3929448.

“Siasatan kes ini dijalankan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan serta Seksyen 323 Kanun Keseksaan,” katanya. – BH Online

Didakwa 100 pertuduhan lakukan amang seksual terhadap 2 beradik

$
0
0

Ipoh – Seorang penjaga pusat jagaan anak yatim didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas 100 pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua beradik kanak-kanak lelaki di bawah jagaannya sejak hujung tahun lalu hingga April lalu.

Tertuduh, Emeer Ahmad Ahmad Jaafar, 35, yang juga seorang peniaga, mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan dibaca mengikut Seksyen 14(a) dan 15(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 di hadapan Hakim, N Priscilla Hemamalini.

Tertuduh yang juga Setiausaha rumah jagaan anak yatim di Bandar Cyber Botani, di sini, didakwa dengan 100 pertuduhan membabitkan 34 kes amang seksual termasuk menunjuk kemaluan terhadap dua beradik masing-masing berusia 10 dan 13 tahun yang juga penghuni pusat jagaan itu.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh di beberapa lokasi berbeza termasuk di pusat jagaan terbabit, sebuah pangsapuri di Cameron Highlands dan di rumah suspek sendiri di Taman Magosa, Botani, di sini, pada tarikh berbeza antara 1 November 2020 hingga 9 April lalu.

Kesalahan bagi Seksyen 14(a) memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, manakala Seksyen 15(a) memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Waffy Ismail dengan tertuduh diwakili peguam, Robert S Gnanarajan.

Mohd Waffy memohon mahkamah tidak membenarkan jaminan kepada tertuduh dengan mengambil kira latar keseluruhan kes dan jumlah pertuduhan menunjukkan satu kesalahan berulang bagi kes sama, selain menggambarkan tertuduh seorang yang cenderung terhadap kelakuan pedofilia, justeru perlu mengambil kira kepentingan awam.

Gnanarajan bagaimanapun membantah permohonan itu dengan menyatakan kes berkenaan bukan kes yang tidak boleh ditawarkan jaminan.

Hemamalini kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM34,000 iaitu RM1,000 bagi setiap kes dikenakan ke atasnya, selain menetapkan 3 September depan bagi sebutan semula.

Sementara itu, prosiding dijalankan dengan semua pihak membabitkan tertuduh, hakim, pihak pendakwaan, peguam, polis, jurubahasa mahkamah, dengan dibantu tiga petugas kesihatan mengenakan set lengkap pakaian pelindung diri (PPE), selain disusuli aktiviti nyah cemar berikutan tertuduh baru selesai menjalani kuarantin pada 27 Mei lalu selepas disahkan positif COVID-19.

Petugas media ditempatkan dalam kamar perbicaraan berbeza, namun dibenar menyaksikan perbicaraan melalui tayangan secara siaran langsung.

Difahamkan, tarikh sebutan semula yang ditetapkan tiga bulan lagi selepas mengambil kira tempoh 90 hari kemungkinan virus COVID-19 masih berada dalam badan manusia seperti dinyatakan Kementerian Kesihatan (KKM). — BH Online

Ahli politik ditahan kes cabul

$
0
0

Kota Kinabalu – Polis menahan seorang ahli politik berhubung dakwaan seorang peserta Unduk Ngadau Pesta Kaamatan, dicabul.

Lelaki terbabit ditahan selepas membuat sidang media berhubung dakwaan berkenaan di pejabatnya di Asia City, di sini, kira-kira jam 1 petang tadi.

Difahamkan, sidang media dibuat berhubung tindakan mahkamah yang akan diambil terhadap dua individu dan sebuah laman blog.

Ia dipercayai berkaitan video yang disiarkan menunjukkan beliau berselisih faham dengan pengawal keselamatan dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) di Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) di Penampang bulan lalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata, suspek sudah ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul kehormatan.

“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini

Sementara itu, Hazani berkata, peserta Unduk Ngadau yang mendakwa menjadi mangsa kejadian itu sudah dipanggil untuk diambil keterangannya, hari ini.

Katanya, wanita berusia 20-an itu dipanggil bagi membantu siasatan lanjut berhubung kes berkenaan.

Sebelum ini, Hazani menegaskan polis akan menjalankan siasatan berhubung laporan polis seorang peserta Unduk Ngadau peringkat negeri yang mendakwa dicabul seorang ahli jawatankuasa penganjur pertandingan itu.

Katanya, hasil siasatan berhubung perkara itu akan diserahkan kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.

“Berdasarkan salinan laporan polis bertarikh 21 Mei lalu yang tersebar di media sosial, peserta Unduk Ngadau terbabit mendakwa diraba di paha, tangan, leher dan belakangnya dalam sebuah kereta ketika mengikut suspek keluar makan malam di Kota Kinabalu,” katanya. – BH Online

Kes cabul : Paderi OKU didakwa lagi

$
0
0

Petaling Jaya – Seorang paderi orang kurang upaya (OKU) warga Korea Selatan yang sebelum ini pernah didakwa di Mahkamah Majistret Pulau Pinang atas tuduhan mencabul beberapa lelaki, dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas tuduhan sama.

Bagaimanapun, tidak pengakuan direkodkan daripada Jee Jong Hoon, 54, yang merupakan OKU pekak dan bisu berikutan ketiadaan jurubahasa untuk membacakan pertuduhan dalam bahasa isyarat di hadapan Majistret Zhafran Rahim Hamzah.

Sehubungan itu, mahkamah menetapkan 27 Julai ini untuk melantik jurubahasa bagi membacakan pertuduhan terhadap Jong Hoon.

Terdahulu pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya, Siti Zubaidah Mahat, tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh.

Bagaimanapun peguam M Thanakumaran yang mewakili tertuduh, memohon mahkamah membenarkan ikat jamin terhadap anak guamnya dengan alasan dia sudah memberikan kerjasama baik kepada pihak polis sepanjang siasatan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan dua penjamin warganegara, berserta syarat tambahan dilarang mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.

Pada 29 Disember 2020, tertuduh didakwa di Mahkamah Majistret Georgetown, Pulau Pinang atas pertuduhan mencabul kehormatan seorang lelaki yang kini berusia 40 tahun.

Sementara itu pada 18 Disember 2020, Jong-hoon didakwa atas dua lagi pertuduhan mencabul kehormatan dua lelaki pada 2013 dan 2017.

Tiada pengakuan direkodkan bagi kedua-dua kes berkenaan kerana ketiadaan jurubahasa bagi membaca pertuduhan selain tertuduh hanya memahami bahasa Korea.

Mahkamah Majistret Butterworth, kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000. — BH Online


ADUN didakwa cabul jurujual wanita

$
0
0

Shah Alam – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Pulau Pinang, Muhammad Faiz Fadzil didakwa di Mahkamah Majistret di sini, atas tuduhan melakukan serangan seksual bagi mencabul kehormatan seorang jurujual wanita.

Muhammad Faiz, 44, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sebaik Pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali, semalam.

Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aishah Ahmad Zakiuddin, yang mengendalikan kes itu ketika dihubungi mengesahkan perkara berkenaan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Muhammad Faiz didakwa menggunakan kekerasan jenayah dengan niat mencabul kehormatan seorang wanita berusia 31 tahun, antara jam 9.45 dan 11.30 malam, pada 8 Mac lalu.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu ketika berada dalam sebuah kereta dari pusat beli-belah Sunway Pyramid ke Subang Jaya dan didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau dengan mana-mana dua daripada seksaan itu.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin, berserta syarat tambahan dilrang menganggu saksi pendakwaan.

Mahkamah kemudian menetapkan 6 Ogos ini untuk sebutan semula kes.

Pada prosiding itu, Muhammad Faiz diwakili peguam Abdul Aziz Hamzah, Surya Putra Mohamed Taulan, Hairulallias Shaari dan Ahmad Faiq Azizan.

Pada 23 Mac lalu, Muhammad Faiz mengesahkan dipanggil untuk satu siasatan pihak polis pada 18 Mac lalu berkaitan laporan polis terhadapnya.

Muhammad Faiz berkata, beliau sudah memberikan kerjasama kepada pihak polis dan akan terus memberikan kerjasama bagi membantu proses siasatan.

Sebelum ini media melaporkan polis sedang menyiasat seorang ADUN dari sebuah negeri di utara Semenanjung atas tuduhan mencabul seorang pembantu kedai yang juga ahli partinya dua minggu lalu. — BH Online

Ahli perniagaan mengaku tidak bersalah cabul peserta Unduk Ngadau

$
0
0

Kota Kinabalu – Seorang ahli perniagaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas lima pertuduhan mencabul kehormatan termasuk empat membabitkan peserta Unduk Ngadau, pada April dan bulan lepas.

Philip Among @ Daniel Dell Fidelis, 52, didakwa menggunakan kekerasan jenayah dengan niat untuk mencabul kehormatan terhadap seorang wanita di sebuah rumah penginapan di sini, pada 11 malam, 17 April lepas.

Dia juga didakwa atas empat pertuduhan melakukan kesalahan sama ke atas seorang peserta Unduk Ngadau di beberapa lokasi berbeza di Kota Kinabalu, antara 2 petang dan 10 malam pada 19 Mei.

Kesemua pertuduhan dikemukakan menurut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau dengan mana-mana dua daripada seksaan itu, jika disabitkan kesalahan.

Majistret Jessica Ombou Kakayun membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 bagi setiap pertuduhan dengan dua penjamin dan menetapkan 14, 21 dan 22 Julai ini untuk pengurusan kes.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Siti Amirah Muhammad Ali sementara tertuduh diwakili peguam Marcel Jude.

Unduk Ngadau merupakan pertandingan ratu cantik tradisional tahunan yang diadakan bersempena perayaan Pesta Kaamatan yang disambut oleh etnik Kadazandusun serta rakyat di negeri ini pada setiap Mei. — Bernama

Doktor pelatih didakwa lakukan seks, cabul pesakit

$
0
0

Kuala Lumpur – Seorang doktor pelatih mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Selayang di sini hari ini, atas pertuduhan melakukan seks ke atas seorang pesakit wanita di wad sebuah hospital di sini, tahun lepas.

Yeah Wei Yee, 29, didakwa melakukan perbuatan tersebut terhadap seorang pesakit wanita berusia 25 tahun di wad hospital itu pada 4.30 pagi, 5 Sept 2020 mengikut Seksyen 377CA Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum lima tahun dan tidak melebihi 30 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Tertuduh juga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan menggunakan kekerasan jenayah dengan niat untuk mencabul pesakit itu di tempat dan masa serupa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada seksaan itu, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nurul ‘Ain Shafie dan Khairunnisak Hassni menawarkan jaminan RM10,000 bagi pertuduhan melakukan seks dan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin untuk pertuduhan mencabul.

Peguam Yuvaraj Sugapathy, yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah berikutan anak guamnya merupakan seorang penjawat awam dan masih berada dalam tempoh latihan di hospital.

Hakim Nor Rajiah Mat Zin membenarkan lelaki itu diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin manakala jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin ditetapkan Majistret Nur Hafizah Rajuni, masing-masing dengan syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan sebulan sekali selain dilarang mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 15 Julai untuk sebutan semula kes. — Bernama

Rogol, cabul anak tiri : Tukang kebun mengaku tak bersalah

$
0
0

Pasir Mas – Seorang tukang kebun didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini terhadap lima pertuduhan merogol serta mencabul anak tirinya di sebuah rumah di Tanah Merah, antara Disember 2018 hingga Mei lalu.

Tertuduh berusia 58 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Badrul Munir Mohd Hamdy.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memegang anggota badan anak tirinya yang pada ketika itu berusia 12 tahun tujuh bulan pada jam 11 malam di sebuah rumah di Tanah Merah pada Disember 2018.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 14 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Hukuman itu juga dibacakan bersama Seksyen 16 akta sama iaitu tambahan pemenjaraan tidak melebihi lima tahun serta tidak kurang daripada dua sebatan, memandangkan wujud hubungan amanah di antara tertuduh dan mangsa.

Bagi pertuduhan kedua hingga kelima, tertuduh didakwa merogol anak tiri iaitu mangsa yang sama di mana perhubungan tertuduh tidak dibenarkan bawah undang-undang, hukum agama, adat atau kebiasaan untuk berkahwin dengannya.

Kejadian itu berlaku di lokasi sama masing-masing pada Januari hingga April 2019, Februari 2020, April dan 12 Mei lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara lapan hingga 30 tahun serta 10 kali sebatan minimum, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hajarul Falenna Itah Abu Bakar, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Hajarul Falenna Itah memohon mahkamah supaya tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh bagi melindungi keselamatan mangsa selain keadaan mangsa yang masih trauma.

Mahkamah kemudian tidak menawarkan sebarang jaminan dan menetapkan 18 Julai sebagai tarikh sebutan semula kes. — BH Online

Bekas pengetua mengaku tak bersalah cabul 3 kakitangan

$
0
0

Kuala Berang – Seorang bekas pengetua sekolah hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas lima pertuduhan mencabul tiga kakitangan wanita.

Aminuddin Jusoh, 53, didakwa melakukan kesalahan tersebut di beberapa lokasi termasuk koridor dan bilik makmal sebuah sekolah menengah di Hulu Terengganu antara Januari hingga Februari lepas.

Tertuduh yang kini bertugas di sebuah jabatan kerajaan didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.

Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 26 Sept untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Engku Ahmad Rashdi Engku Abdillah manakala tertuduh diwakili peguam Noor Svetlana Mohd Noor Nordin, lapor Bernama.

Remaja perempuan dakwa dicabul pengamal perubatan

$
0
0

Tumpat – Seorang remaja perempuan mendakwa dicabul pengamal perubatan ketika menerima rawatan di rumah keluarganya di Pasir Tumboh, dekat sini, dalam satu kejadian 2 Ogos lalu.

Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu selepas keluarga mangsa berusia 15 tahun itu membuat laporan di Balai Polis Kubang Kerian, tengah hari hari Rabu.

Beliau berkata mangsa selalu mengalami masalah histeria dan dipercayai kerana gangguan makhluk halus sehubungan itu keluarga mangsa telah menghubungi suspek berusia 39 tahun itu untuk menjalankan perubatan ke atas mangsa.

“Kejadian dilaporkan berlaku kira-kira 11 pagi, ketika rawatan ke atas mangsa dijalankan oleh seorang lelaki yang dikenali dengan panggilan ‘ustaz’ (suspek),” katanya kepada pemberita, di sini.

Shafien berkata kes akan disiasat mengikut Seksyen 14 (1) (d) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak.

Pada 9 Ogos lalu, Polis Kelantan mengesahkan menerima satu laporan melibatkan seorang bomoh berasal dari Perlis (suspek) yang mendakwa dipukul sekumpulan lelaki berkaitan isu ‘Sihir 7 Keturunan’ dan santau yang kini tular di media sosial.

Akibat kejadian itu, lelaki berkenaan hanya mengalami cedera ringan iaitu lebam di mata kiri dan calar di muka namun kini mendapatkan rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II Kota Bharu kerana menghidap penyakit lain, lapor Bernama.

Padah cabul warga emas

$
0
0

Melaka – Seorang tukang kebun warga Indonesia dihukum penjara selama 10 tahun dengan satu sebatan di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini, selepas mencabul seorang wanita berusia 77 tahun.

Hakim Mahkamah Sesyen, Maziah Joary Mohd Tajudin, menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Firmus Nahak, 41, mengaku bersalah sejurus pertuduhan dikemukakan terhadapnya.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan pencabulan seksual (secara memasukkan jari dalam kemaluan) dan mencederakan mangsa berusia 77 tahun itu yang juga penghuni sebuah pusat jagaan.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh di pusat jagaan warga emas yang terletak di Melaka Tengah di sini, kira-kira jam 12.30 malam pada 19 Ogos lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 377CA, Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara antara lima hingga 30 tahun serta sebatan.

Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Anis Wahidah Mohamad, memohon hukuman penjara yang panjang sebagai pengajaran kepada tertuduh dan orang awam, selain mengambil kira faktor mangsa adalah warga emas.

Maziah Joary pada penghakimannya memerintahkan tertuduh dikenakan satu sebatan dan dipenjara 10 tahun bermula dari tarikh ditangkap pada 19 Ogos.


Kes cabul : Mahkamah Rayuan kekal denda RM20,000 terhadap guru

$
0
0

Putrajaya – Mahkamah Rayuan di sini hari ini mengekalkan hukuman denda RM20,000 terhadap guru matematik yang didapati bersalah atas dua pertuduhan mencabul kehormatan seorang murid lelakinya berumur 11 tahun.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Suraya Othman membuat keputusan itu selepas menolak rayuan Kamarul Azamin Mohamad terhadap sabitan dan hukuman dalam kes itu.

Panel itu, yang juga terdiri daripada Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk M. Gunalan, turut menolak rayuan pendakwaan agar hukuman penjara dikenakan ke atas Kamarul Azamin.

Dalam penghakimannya, Suraya berkata hukuman denda RM10,000 bagi setiap pertuduhan yang dijatuhkan ke atas tertuduh adalah memadai.

Beliau berkata Kamarul Azamin adalah pesalah pertama dan dia juga berdepan kemungkinan kehilangan pekerjaan serta pencen.

Bagaimanapun, Suraya berkata sabitan terhadap Kamarul Azamin bagi kedua-dua pertuduhan adalah selamat kerana mangsa adalah saksi yang boleh dipercayai dan keterangan berhubung insiden yang berlaku di dalam bilik guru itu telah disokong oleh rakannya.

Kamarul Azamin, 43, pada asalnya didakwa atas dua pertuduhan merangsang mangsa untuk melakukan kelucahan melampau di dalam bilik guru pada 4 Mei 2016 dan sekali lagi pada 6 Mei tahun sama di dalam bilik komputer di sebuah sekolah di Kuala Lumpur.

Pada 26 Dis 2018, Mahkamah Sesyen mendapati Kamarul Azamin bersalah atas kedua-dua pertuduhan dan menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun dengan satu sebatan bagi setiap kesalahan serta memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu secara serentak.

Kamarul Azamin kemudian merayu ke Mahkamah Tinggi yang menggantikan pertuduhan itu dengan mencabul kehormatan dan menjatuhkan hukuman denda RM10,000 ke atas Kamarul Azamin bagi setiap kesalahan atau penjara 10 bulan.

Tertuduh diwakili peguam Taqiyuddin Yahya manakala Timbalan Pendakwa Raya How May Ling hadir bagi pihak pendakwaan, lapor Bernama.

Lelaki ditahan cabul anak tiri berusia 13 tahun

$
0
0

Jempol – Polis menahan seorang lelaki dua hari lepas bagi membantu siasatan mencabul anak tirinya di sebuah rumah di sebuah Felda di sini sejak April lepas.

Ketua Polis Daerah Jempol Supt Hoo Chang Hook berkata lelaki berusia 24 tahun itu dipercayai kerap mencabul remaja perempuan berusia 13 tahun berkenaan ketika berada di rumah dengan kejadian terakhir berlaku pada pertengahan bulan ini.

“Lelaki berkenaan menyuruh mangsa (anak tiri) merahsiakan hal tersebut daripada pengetahuan sesiapa. Bagaimanapun, mangsa membuat laporan polis pada Selasa lepas sebelum lelaki itu ditangkap pada hari sama bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata mangsa dihantar ke hospital bagi pemeriksaan dan hasil siasatan awal polis mendapati lelaki berkenaan yang mempunyai satu rekod berkaitan dadah mengaku mencabul mangsa.

Katanya lelaki itu direman tujuh hari bermula semalam bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, lapor Bernama.

Tentera cabul pekerja kedai vape ditahan

$
0
0

Kuala Lumpur – Polis menahan seorang anggota tentera yang dipercayai mencabul pekerja kedai vape di Taman Keramat termasuk menjilat jari mangsa ketika berurusan di situ.

Anggota tentera terbabit yang berusia 26 tahun ditahan di sebuah rumah di Taman Setiawangsa dalam serbuan tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, berkata polis juga merampas kelengkapan uniform dipercayai dipakai suspek ketika kejadian selepas menahan anggota itu pada jam 12.30 tengah malam.

Siasatan mendapati lelaki itu berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia sejak tujuh tahun lalu dan bertugas di sebuah kem di Lembah Klang.

“Kita turut menjalankan ujian saringan air kencing yang mendapati suspek negatif dadah. Siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Suspek direman empat hari hingga Ahad ini mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari kelmarin, mangsa berusia 18 tahun yang juga pekerja kedai vape terbabit didatangi seorang lelaki berpakaian tentera mahu membeli barangan vape di kedai

itu.

Lelaki itu keluar dari kedai selepas selesai membeli barangan vape, namun tidak lama kemudian masuk semula ke kedai berkenaan.

Ketika mangsa menyerahkan pod vape kepada lelaki itu, suspek dipercayai mengambil kesempatan memegang tangan mangsa dan kemudian turut menjilat jari mangsa, lapor BH Online.

Polis siasat anggota enggan terima laporan kes cabul

$
0
0

Georgetown – Polis Daerah Timur Laut sedang menjalankan siasatan dalaman berhubung dakwaan seorang anggotanya enggan menerima laporan polis berhubung kes cabul, seperti yang tular di media sosial sejak dua hari lepas.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Soffian Santong berkata pihaknya juga memberi jaminan akan menjalankan siasatan secara menyeluruh, telus dan adil berhubung dakwaan tersebut.

“Pihak polis dan saya sendiri sedang menjalankan siasatan dalaman dan beri jaminan siasatan secara menyeluruh, telus dan adil akan dijalankan berhubung dakwaan yang tular di media sosial iaitu Facebook itu.

“Jika terkesan terdapat salah laku dan kecuaian dalam melaksanakan prosedur penugasan, tindakan tatatertib akan dikenakan kepada semua pegawai atau anggota yang terlibat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya tindakan enggan menerima laporan daripada orang awam oleh pegawai atau anggota polis merupakan satu kesalahan yang amat serius dan tidak boleh dikompromi.

Mengulas lanjut berhubung kes itu, Soffian berkata selepas dakwaan itu tular, polis telah memanggil pengadu kes berkenaan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut untuk diambil keterangan dan bagi mengesahkan dakwaan sepertimana yang ditularkan.

“Satu kertas siasatan telah dibuka mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana kesalahan mencabul kehormatan,” katanya.

Pada 21 Okt lepas, tular satu hantaran di Facebook oleh Urban Life Volunteers yang mendakwa kononnya anggota polis dari IPD Timur Laut enggan menerima laporan polis yang hendak dibuat oleh seorang mangsa cabul, dipercayai berlaku di dalam sebuah tandas wanita di Komtar.

Ramai pihak termasuk beberapa orang persendirian dan badan bukan kerajaan tampil memberi pendapat masing-masing yang kebanyakannya menyalahkan polis kerana didakwa tidak mahu menerima laporan mangsa, lapor Bernama.

Ustaz cabul pelajar perempuan ketika upacara mandi bunga

$
0
0

Jakarta – Seorang ustaz di Tangerang dalam wilayah Banten didakwa mencabul beberapa pelajar perempuan ketika melakukan upacara mandi bunga yang dikatakan bertujuan untuk menyalurkan ilmu kebatinan, lapor laman berita Suara.com semalam.

Kejadian pertama dilakukan ustaz terbabit dilaporkan pada April lalu apabila seorang pelajar perempuan yang menghadiri pengajiannya menawarkan diri untuk mendalami ilmu kebatinan dan disuruh mandi bunga.

Ketika proses mandi bunga, pelajar tersebut dimandikan dalam keadaan berpakaian dan dia dicabul selepas prosedur itu tamat.

Mengesahkan laporan kejadian, Ketua Perhubungan Awam Polis Metro Tangerang, Komisioner Polis Abdul Rachim berkata, suspek turut melakukan perkara terkutuk itu kepada beberapa pelajar perempuan yang lain.

“Kami mendapati bukan sahaja seorang mangsa terlibat, malah ramai lagi yang menjadi mangsa ustaz terbabit,’’ katanya.

Kegiatan ustaz itu terdedah setelah dilaporkan ibu bapa mangsa.

Viewing all 137 articles
Browse latest View live